Saturday, April 7, 2012

Kelayakan Bercerita Dunia Komputer

Adakah saya ini seorang pakar komputer? Oh tidak samasekali. Saya bukan seorang pakar IT atau pakar komputer dan saya tiada background akademik atau kelulusan yang berkait rapat dengan IT dan bukan juga bekas graduan Computer Science atau Computer Engineering . Saya memegang Ijazah Komunikasi Massa dalam jurusan Kewartawanan. Pernah menulis mengenai hal-hal komputer dalam Berita Komputer pullout Berita Harian sekitar awal 90an dan sebagaimana yang telah diceritakan dalam posting Pengenalan.

Saya akui saya seorang pengguna komputer tegar selain dari mempunyai pengalaman-pengalaman selama beberapa tahun bekerja menggunakan komputer dan tahu dari perkara asas sehinggalah kepada perkara yang terlalu teknikal; dari pemasangan hardware komputer sehingga kepada pemasangan sistem operasi samada Windows atau Linux (distro Ubuntu) dan perisian-perisian yang boleh digunakan dalam kedua-dua sistem operasi tersebut. Tidak perlu dibincangkan pengetahuan saya mengenai pengetahuan asas dalam Windows seperti pemprosesan perkataan, perisian untuk pembentangan (presentation) dan Excel kerana itu kanak-kanak tadika pun mahir menggunakannya.

Saya mahir menggunakan perisian grafik terutama Paint Shop Pro untuk mengedit gambar-gambar berformat digital, berkebolehan menyunting video dan membuat special effect, tahu mengguna dan mengubah (walau tidak semua) kod-kod HTML dan PHP . Tahu apa dia "website biasa" dan website yang menggunakan CMS. Saya memiliki 11 (sebelas) domain website yang kesemuanya menggunakan CMS. Membina dan membangun laman web bagi saya adalah sebagai hobi. Sebab itu apabila bekerja dan walaupun jawatan yang saya pegang adalah penulis laman web saya lebih banyak membantu di dalam hal-hal teknikal dalam laman web itu sendiri tidak kira apa pun jua titik bengik kesulitan yang terdapat pada laman web itu.

Saya mengaku bagaimana tahu dan arif saya mengenai komputer namun perlu saya akui bahawa TIDAK SEMUA perkara-perkara berkaitan komputer yang saya tahu yang dapat saya ceritakan. Mungkin ada kesilapan dan kekurangan dan saya terima sebarang komen oleh mereka yang melayari web dan tersinggah di blog ini.

Apa yang cuba saya lakukan di blog ini sekadar untuk suka-suka atau syok sendiri namun sekiranya ia sesuatu yang bermenfaat dan berguna maka segala kebaikan itu datang dari Allah jua. Selain dari itu tujuan blog ini adalah untuk saya memulihkan sejenis sindrom penyakit yang melanda diri saya yang dikenali sebagai writers block iaitu ketidakupayaan untuk menulis oleh mereka yang profesyennya adalah menulis. Ya saya akui saya ini mungkin mengalami sindrom berkenaan kerana disebabkan oleh beberapa faktor yang akan saya ketengahkan kepada para pembaca blog ini kerana sindrom ini berkaitan dengan ketagihan saya terhadap komputer. Namun saya tidak akan ceritakan sederap sebagai satu kesah tetapi akan selitkan di mana-mana perlu.

Selain dari itu saya akan menulis dan bercerita mengenai berbagai pengalaman-pengalaman yang adakala menyeronokkan, adakala melucukan dan adakala ia penuh kehampaan dan tidak kurang juga yang menyedihkan. Saya sedar jika tidak kena pada caranya bercerita mengenai komputer dan dunia IT tentu akan mendatangkan kebosanan pada tahap yang sangat luar biasa kerana biasanya dalam dunia komputer kita akan tempuh berbagai jargon teknikal yang bagi sesetengah orang ia sesuatu yang sangat membosankan. Bagaimanapun bagi yang tahu ia merupakan satu dunia yang penuh dengan keseronokan bercampur sahutan terhadap apa jua cabaran yang kesudahannya adalah berbagai.

Dunia IT atau dunia perkomputeran satu dunia yang berkembang pesat, cepat, pantas dan drastik. Komputer yang kita anggap tercanggih hari ini mungkin akan menjadi teknologi yang ketinggalan (obselete) pada keesokannya malahan bukan beberapa hari, bukan beberapa jam kerana entahkan beberapa saat sahaja dari waktu blog ini ditulis atau beberapa saat sahaja anda habis membaca ayat ini satu teknologi baru akan terhasil.

Pada waktu blog ini ditulis saya menggunakan komputer laptop Celeron dengan sistem operasi Ubuntu sebagai pentas. Ianya salah satu dari varian atau istilah tepatnya distro Linux. Sebenarnya ada cerita disebalik kenapa saya menggunakan sistem operasi Linux. Adakah saya pengguna Linux yang tegar? Jika soalan itu ditanya kepada saya saya akan mengatakan tidak dan tidak samasekali kerana saya hanya seorang pengguna komputer yang mahu sesuatu itu terhasil tanpa mengira apa pentas sistem operasi sekalipun. Yang penting RESULT!

No comments:

Post a Comment